Thursday, May 21, 2009

Sejarah & Tempat-tempat Menarik Di Sandakan,Sabah


PETA SANDAKAN


SEJARAH AWAL SANDAKAN

Lagenda Sandakan bermula beberapa tahun sebelum Pryer. Kampung German yang dijadikan oleh Kaptain William Schuck berbangsa Jerman sebagai pangkalan perniagaan merupakan penempatan pertama, walaupun pada masa tersebut sudah ada beberapa orang Sulu yang menetap di sekitar laut berdekatan. Apabila Kaptain William Schuck mendapat sebuah pulau di kesultanan Sulu, maka Wiliam Clarke Cowie, seorang pedagang dan pelaut dari Scotland, telah mengantikannya. Penempatan ini menjadi pusat perniagaan senjata yang tidak berjaya. Beliau akhirnya mencari rakan niaga dari Kesultanan Sulu dan meninggalkan Kampung German.

Pada masa yang sama Baron de Overbeck telah berjaya mendapatkan konsesi sebahagian wilayah Sandakan setelah bertemu dengan Sultan Sulu yang bernama Sultan Jamal Ui Alam. Keluasan ini bermula dari Sungai Sibuco (Sg. Sibuga) sehinggalah wilayah Sungai Padasan kira-kira 20,000 batu persegi. Menurut perjanjian tersebut, Baron de Overbeck akan membayar sebanyak $5,000 setiap tahun. Serentak itu juga, Baron de Overbeck diisytiharkan sebagai Dato Bendahara serta Raja Sandakan berkuatkuasa pada 1878.

Untuk mentadbir wilayah yang dimilikinya, de Overbeck telah menyerahkan pentadbiran dan pengurusan kawasan-kawasan ini kepada beberapa pegawai Inggeris yang dipercayainya. Antara orang yang dipercayainya ialah William Burgess Pryer. Bandar Sandakan mula berkembang apabila ia di tadbir oleh William B. Pryer pada 21 Jun 1879.

Apabila Pryer tiba di Kampung German dalam 1878, tugas pentadbirannya yang pertama adalah memperkenalkan satu undang-undang yang dikenali sebagai undang-undang cukai perdagangan bagi mengelakkan berlakunya eksploitasi perdagangan yang berlebihan. Rundingan terpaksa di buat bersama dengan pemimpin suku di kawasan tersebut. Akhirnya satu persetujuan di capai, cukai perdagangan telah diperkenalkan untuk keseragaman. Pembaharuan ini mendapat sokongan dan bantahan dari beberapa suku kaum, walau bagaimanapun Pryer berjaya mengatasi masalah ini walaupun berlakunya Peristiwa Timbong di mana Emaum Jelanee yang mengetuai suku kaum Bajau Laut telah menyerang Pulau Timbong. Bantahan ini berlaku kerana ia menyekat kebebasan berdagang.

Beberapa masalah seperti masalah lanun menyerang juga dapat diatasi oleh Pryer. Kemajuan, kestabilan perdagangan dan keamanan di bandar baru ini telah menarik minat pedagang asing seperti pedagang Cina serta suku kaum di Kepulauan Filipina.

Pryer juga berusaha memperkembangkan kekuasaannya sehingga ke kawasan Kinabatangan. Kawasan ini penting kerana hasil hutan dan hasil sarang burung di Gua Gomantong merupakan bahan mentah yang terkenal.

Dalam kepesatan pembangunan Kampung German akhirnya telah terbakar akibat kecuaian seorang penduduk Kampung bernama "Sabtu". Kebakaran tersebut telah memusnahkan seluruh kampung termasuk rumah Pryer sendiri. Keadaan ini telah menyebabkan Pryer dan penduduk Kampung berpindah ke satu kawasan baru yang terletak di muara teluk pada 18 Jun 1879. Kawasan ini dikenali sebagai Buli Sim-Sim (Booly Sim-Sim).

Pryer telah menamakan tempat ini ‘Elopura’ yang bermaksud “Bandar yang Indah”. Pryer menebang pokok yang pertama apabila menjalankan kerja-kerja pembersihan sepenuhnya kerana Buli Sim-Sim ketika itu merupakan kawasan hutan yang dipenuhi dengan pokok-pokok bakau.

Menjelang tahun 1881, Elopura telah berkembang menjadi sebuah pekan yang di bina sebahagiannya di atas air. Jambatan-jambatan yang tidak berapa teguh di perbuat daripada nibong berfungsi sebagai jalan raya. Pada tahun 1882 terdapat lebih kurang 57 buah rumah dengan penduduk seramai 696 orang dan jumlah ini kemudian meningkat dari tahun ke tahun dengan komposisi komuniti Bajau, Cina, Sulu dan lain-lain. Terdapat seramai 30 orang Eropah, 3000 orang-orang Cina dan 3,000 pelbagai Cina.

Oleh itu, William B. Pryer merupakan orang penting dalam merintis pembangunan awal bandar Sandakan dengan penyediaan asas-asas polisi pentadbiran untuk diteruskan oleh pemimpin lain. Beliau meletakkan jawatan pada tahun 1890 dan secara langsung tidak lagi menjadi pengerusi “British North Borneo Development Corporation”.


PULAU BERHALA

Pulau Berhala terletak di luar pintu masuk Teluk Sandakan berdepan dengan perkampungan Sim-Sim. Antara yang unik di pulau ini adalah dua buah bukit batupasir yang bercantum dengan ketinggian 600 kaki. Di atas bukit terdapat rumah api. Kawasan curam bukit tersebut adalah Hutan Simpanan di mana terdapat banyak tumbuhan tempatan yang hanya boleh didapati di kawasan pinggir laut yang menjadi tumpuan ahli botani. Terdapat sebuah kampung di bahagian barat pulau yang bersambung dengan tanah lapang ke pantai yang dilengkapi dengan kemudahan perkelahan. Di hujung bahagian Selatan pulau ini terdiri daripada tebing karang yang curam berwarna kemerah-merahan. Terdapat beberapa gua di tebing karang ini. Sebelum Perang Dunia Ke-2 Pulau Berhala pernah digunakan sebagai penempatan pesakit kusta, manakala semasa Perang Dunia ke-2 pula Orang Jepun menggunakan Pulau Berhala sebagai ‘Pusat Tahanan Perang’. Puan Agnes Keith merupakan salah seorang daripada tahanan perang di antara bulan Mei 1942 hingga January 1943 sebelum dipindahkan ke Kuching, Sarawak. Pada masa ini Pulau Berhala merupakan salah sebuah tempat perkelahan yang terkenal.

PULAU-PULAU PENYU




Di seberang Pulau Libaran, 40 kilometer dari Timur-Utara Sandakan dan berhampiran dengan Sempadan Malaysia dan Filipina, terdapat sekelompok pulau-pulau yang terdiri daripada tiga pulau kecil yang berhampiran iaitu Pulau Selingan, Pulau Gulisan dan Pulau Bakkungan Kecil. Pulau-pulau ini merupakan pulau-pulau yang terutama di timur-selatan Asia di mana penyu-penyu mendarat dan bertelur di pantainya. Penyu-penyu ini biasanya bertelur pada waktu malam selepas pukul 8 bila air surut. Pada masa itu anda boleh menyaksikan penyu-penyu yang mendarat mengorek lubang di pantai dan bertelur ke dalamnya.

Penyu-penyu yang bertelur di pulau-pulau ini ialah 83% ‘Green Turtles’ dan 17% ‘Hawksbill Turtles’. Kebanyakan ‘Green turtles’ bertelur di Pulau Selingan manakala kebanyakan ‘Hawksbill Turtles’ bertelur di Pulau Gulisan, kerana terdapat terumbu karang yang luas di kawasan ini. Manakala sebahagian kecil dari kedua-dua jenis penyu ini bertelur di Pulau Bakkungan Kecil. Penyu-penyu ini bertelur sepanjang tahun, tetapi kemuncak ia bertelur ialah pada bulan Julai hingga bulan Oktober bagi ‘Green Turtles’ yang bertelur lebih kurang 110 biji dalam satu lubang dan Februari hingga April bagi ‘Hawksbills Turtles’ yang bertelur di antara 70 hingga 180 biji telur sekali. Telur-telur ini akan di peram selama 50-60 hari sebelum ia menetas menjadi anak penyu dan berenang balik ke laut. Dalam penyelidikan, penyu-penyu betina ini akan kembali untuk bertelur selepas 20 tahun dan akan kembali bertelur selepas beberapa tahun berikutnya.

Di antara pulau-pulau penyu ini, Pulau Selingan juga merupakan salah sebuah tempat pelancongan yang menarik. Dengan menggunakan bot laju anda boleh menyaksikan keindahan pulau ini dan kejernihan lautnya yang cantik dengan beraneka jenis ikan. Pulau Selingan terdapat sebuah chalet iaitu Chalet Pulau Selingan. Ia mempunyai 15 buah bilik yang mempunyai bilik mandi. Chalet ini juga mempunyai restoran.

PUSAT PEMULIHARAAN ORANG UTAN SEPILOK

Pusat Pemuliharaan Orang-Utan Sepilok yang terletak 25 kilometer dari Bandar Sandakan, mempunyai keluasan 43 kilometer persegi. Pusat Pemuliharan Orang Utan Sepilok merupakan sebuah hutan asli yang terpelihara. Orang ramai dapat melihat Orang-Utan (Wild Red Apes) di tempat asal semulajadi mereka iaitu di hutan hujan tropika ini. Tujuan utama Pusat Pemuliharaan Orang-Utan ini adalah untuk mendidik anak-anak orang-utan yang terpisah dari ibunya untuk berdikari di dalam hutan.

Pada tahun 1957, pembalakan telah diharamkan dan pasukan simpanan telah dilantik untuk membuat penyelidikan. Dalam tahun 1963 semasa Sabah merdeka dalam Malaysia, Jabatan Perhutanan telah menbentuk satu Cawangan Penjaga Binatang Perburuan (Game Branch). Pada masa itu, dipercayai bahawa orang-utan ialah binatang yang susah didapati dan makin berkurangan. Musim itu juga anak-anak orang-utan sangat terkenal sebagai binatang perliharaan di kalangan rakyat Sabah dan di tempat lain. Anak-anak orang-utan biasanya di tangkap semasa pembalakan dan pembersihan hutan. Dengan adanya Cawangan Penjaga Bintang Perburuan ini, satu undang-undang baru telah dikeluarkan iaitu ‘Dilarang menangkap dan memelihara orang-utan’. Oleh itu Sepilok telah dipilih sebagai sebuah pusat pemuliharaan orang utan. Pelawat-pelawat boleh ke pelantar untuk melihat orang-orang utan datang dari dalam hutan untuk mendapatkan makanan dua kali sehari mereka iaitu susu dan pisang. Masa-masa memberi makan setiap hari ialah pada pukul 10:00 pagi dan 3:00 petang.

LABUK BAY PROBOSCIS MONKEY SANCTUARY

Labuk Bay Proboscis Monkey Sanctuary menawarkan satu lagi kawasan pemeliharaan Monyet Belanda (Proboscis Monkey) untuk pelancung yang ingin melihat haiwan ini secara dekat tanpa perlu pergi lebih jauh lagi. Santuari ini terletak di tengah-tengah hutan bakau di sepanjang kawasan berdekatan Kampung Samawang di Labuk Bay, Sandakan. Ia terletak sejauh 38 km dari Lapangan Terbang Sandakan dan mengambil masa lebih kurang sejam untuk sampai ke pusat ini. Separuh daripada jalan tersebut adalah jalan gravel. Bagi sesiapa yang suka melihat haiwan unik ini, ini adalah suatu kemestian untuk melawat tempat ini. Jadual waktu pemerhatian ialah pada 11.30 pagi - 1.30 petang dan 4.30 petang - 6.00 petang.


TAMAN BUAYA

Taman Buaya merupakan pusat pemeliharaan buaya berlesen yang tunggal di Sabah. Pemilik Pusat ini, merupakan keluarga yang memiliki beberapa buah kapal ikan yang besar. Selama ini banyak anak-anak buaya telah dijualnya kepada orang awam, terutamanya nelayan yang gemar memelihara buaya. Jumlah yang didapatinya sehingga tahun 1970an ialah 1,000 ekor buaya, ada yang telah disembelih untuk mendapatkan kulitnya yang berharga untuk diekspot, manakala isinya yang sedap (bagi sebahagian orang) di jual kepada orang tempatan. Sehingga tahun 1982 Perdagangan Persidangan Peraturan Sedunia (International Convention Regulating Trade) Kerajaan Sabah telah mengharamkan pembunuhan buaya. Dengan ini buaya telah di pelihara. Di Taman Buaya ini terdapat lebih kurang 3,000 ekor buaya pada keseluruhannya. Selain buaya, Taman ini juga mempamerkan beraneka jenis binatang dan ikan-ikan tropika yang cantik dan besar. Taman Buaya ini terletak di Batu 8, Jalan Labuk, Sandakan.

TAMAN PERIKANAN JAYA

Taman Perikanan Jaya dirancang dan direka khas untuk memberi pengalaman memancing ikan-ikan segar terus dari kolam ikan yang disediakan. Ia terletak di Batu 11, di kawasan Hutan Hujan Tropika dengan keluasan 5.24 ekar. Ini merupakan tempat untuk berehat dan bergembira di samping melakukan aktiviti memancing bersama keluarga pada hujung minggu atau hari cuti. Masa pembukaan ialah dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang dan bayaran masuk untuk dewasa ialah RM 2.00 dan Kanak-kanak RM1.00 manakala bayaran untuk manancing ikan ialah RM 5.00 seorang termasuk bayaran tiket masuk dan sewaan peralatan memancing. Terdapat pelbagai ikan untuk dipancing, antaranya ialah ikan kurapu, ikan merah, tilapia, patin dan kuratang. Ikan-ikan yang di pancing akan dikenakan bayaran mengikut saiz dan beratnya.

AUSTRALIAN MEMORIAL

Semasa Perang Dunia ke Dua, Sandakan telah di pilih oleh orang Jepun sebagai pusat khemah tahanan iaitu ‘Penjara Masa Perang’ untuk menahan orang-orang tahanannya. Satu daripada khemah ini terletak di belakang Taman Rimba, Batu 8, Jalan Labuk. Kebanyakan orang-orang tahanannya adalah terdiri daripada orang Australia. Tinggalan bangunan dan peralatan-peralatan yang lama masih boleh dijumpai di kawasan ini. Pada tahun 1986 melalui sumbangan derma dan sokongan dari keluarga-keluarga serta kawan-kawan orang-orang tahanan Australia, tempat ini telah dibersihkan dan sebuah batu peringatan telah didirikan untuk memperingatkan jasa-jasa mereka semasa penjajahan Jepun.

Dalam angkaran yang dibuat terdapat 2,000 orang tahanan Australia dan 750 orang British telah d itahan di Daerah Sandakan. Pada tahun 1944, bulan September jumlah tahanan yang tinggal ialah 1,800 orang Australia dan 600 orang British. Mereka tidak diberi makanan, dan ramai yang jatuh sakit. Dalam bulan September ini juga, walaupun sakit mereka di paksa berjalan kaki melalui hutan-rimba sehingga ke Ranau. Selama setahun perjalanan menuju ke Ranau, jumlah orang tahanan yang sebanyak 2,400 telah tinggal menjadi 6 orang saja. Perjalanan menuju ke Ranau ini dikenali sebagai ‘Death March’.


AGNES KEITH’S HOUSE

Agnes Keith adalah seorang rakyat Amerika yang tinggal di Sandakan dari tahun 1934 hingga 1952 bersama suaminya Harry Keith, seorang konservator pengarah pertanian. Mereka tinggal di dalam sebuah rumah papan yang cantik letaknya di Jalan Istana, Bukit Merah. Rumah ini telah musnah semasa perang dunia kedua dan dibina semula oleh kerajaan mengikut reka bentuk Harry Keith. Beliau kembali bertugas selepas perang dunia kedua. Agnes Keith ialah seorang penulis yang mahir dan seorang pemerhati yang tidak berat sebelah. Beliau telah menulis tiga buah buku yang mengambarkan keadaan dan kehidupan di Sandakan pada masa itu, tajuk-tajuk buku yang dikarangnya ialah ‘Land below the Wind’, ‘Three came home’ dan ‘White man returns’. Buku bertajuk "Land Below The Wind" telah mempopularkan Negeri Sabah sebagai sebuah negeri di bawah bayu di peringkat antarabangsa. Rumah Agnes Keith akan dijadikan Muzium Cawangan Sandakan.


ST. MICHAEL AND ALL ANGELS CHURCH

Pada tahun 1888, Reverend W H Elton dari Persatuan Mubaligh Gereja di England telah membina sebuah sekolah yang kecil diberi nama Sekolah Saint Michael’s di Sandakan. Di sekolah ini juga tempat untuk bersembahyang bagi orang-orang yang beragama Kristian. Dari ini datangnya buah fikiran untuk membina sebuah bangunan Gereja yang sempurna iaitu Gereja Saint Michael dan Semua Malaikat (Saint Michael and All Angels Church). Gereja St. Michael merupakan sebuah bangunan batu teguh yang pertama di Sandakan. Bangunan ini di reka oleh seorang New Zealand, Encik B W Mountfort, kerja pembinaan dimulakan pada tahun1893. Pada mulanya kayu belian digunakan dan diikuti batu-bata, yang dipercayai dari kampung Sim Sim. Pembinaan bangunan gereja ini telah mengambil masa lebih kurang 20 tahun dibuat daripada batu batan. Gereja Saint Michael masih kekal sebagai antara satu daripada beberapa buah bangunan batu yang tinggal dan merupakan antara pembinaan yang terbaik di Sandakan.


PUU JIH SHIH

Kuil Puu Jih Shih merupakan kuil yang terbesar di Sandakan. Letaknya di atas sebuah bukit di Tanah Merah. Kedudukan Kuil Puu Jih Shih yang cantik dan sifatnya curam dan kemewahannya membuatnya begitu mudah ternampak di Bandar Sandakan. Pembinaan telah menggunakan US$1 juta dan mengambil masa tiga tahun. Untuk memperlengkapkan hiasan dalaman ia memerlukan lebih kurang US$1 juta, dan akhir sekali dirasmikan pada 26 September 1987. Pintu depan kuil ini menghadap bukit yang curam. Tiga patung Buddha yang berada diatas tempat pemujaan hampir memenuhi kawasan dalam kuil ini. Setiap patung dibuat daripada kayu jati dan di palut lapisan emas serta cat emas. Ketinggian patung ini ialah 23 kaki dengan keberatan ½ tan. Terdapat tanglung-tanglung yang tingginya 20 kaki di buat dari Taiwan, setiap tanglung ini mempunyai lampu yang berasingan sebanyak 1,700 buah di sisi tempat pemujaan. Terdapat juga banyak tempat pemujaan yang kecil dan patung-patung buddha di setiap tepi kuil ini, kesemua tempat pemujaan dan patung-patung Buddha ini di impot dari Macau. 34 tiang-tiang di kuil ini juga di buat dari Macau dan terdapat ukiran naga dari kayu jati dan lapisan emas.


MASJID BESAR SANDAKAN

Masjid Kecil Sandakan yang pertama, di bina pada awal tahun 1880, masjid tersebut hilang dan tidak dapat di kesan lagi. Selepas perang dunia kedua, Masjid Bandar di bina di atas sebuah bukit berhampiran ‘Old Slipway’. Masjid ini kecil dan tidak dapat memuat ramai orang. Keperluan untuk mendapat sebuah masjid yang lebih besar dan tapak yang sesuai mula ketara pada tahun 1970. Sehingga tahun 1984 keperluan untuk mendapatkan sebuah masjid baru, iaitu Masjid Besar Sandakan telah menjadi kenyataan, pembinaan telah dimulakan sehingga tahun 1988 pembinaan ini siap. Walaupun Masjid Besar Sandakan ini sederhana tetapi ia kelihatan anggun dan tetap menarik perhatian dengan lokasinya yang terletak di Teluk Sandakan.


SAM SING KUNG

Kuil Sam Sing Kung merupakan salah sebuah kuil yang tertua di Sandakan. Pada tahun 1887, dengan usaha bersama Persatuaan Kantonis, Teochew, Hakka dan Hainanese, Kuil Sam Sing Kung telah di bina di bahagian kaki bukit berdekatan dengan Kuil Kuan Ying. Kuil ini merupakan kuil yang terletak berdekatan dengan Padang rekreasi Sandakan. Kuil Sam Sing Kung merupakan Tiga orang suci di puja disini iaitu : ‘Kwan Woon Cheung’ (moyang Kwan Clan dan Buddha keadilan), Buddha Tin Hou (di puja oleh orang-orang yang bekerja di laut seperti nelayan) dan Maharaja Min Cheong (di puja oleh sesiapa yang ingin menduduki/lulus peperiksaan).

Karya ini di sunting oleh gadis2 manis 5 delima:

  • Nurshafiqah Binti Samsudin
  • Nur Syuhada Binti Yahaya
  • Ain Sofea Binti Sardan



0 comments: